10 Februari 2017 - 17:42
Iran, Rusia Dan Turki Akan Sertai Dialog Syria Yang Baharu Di Astana

Iran, Rusia dan Turki akan mengadakan dialog baharu di ibu kota Kazakhstan, Astana, pada minggu hadapan di dalam rangka mencari langkah-langkah untuk membawa keamanan ke Syria. Perkara itu dinyatakan oleh Kementerian Luar Persekutuan Rusia.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Iran, Rusia dan Turki akan mengadakan dialog baharu di ibu kota Kazakhstan, Astana, pada minggu hadapan di dalam rangka mencari langkah-langkah untuk membawa keamanan ke Syria. Perkara itu dinyatakan oleh Kementerian Luar Persekutuan Rusia.

"Persediaan sedang dibuat, kami menjangkakan bahawa pertemuan di Astana akan berlangsung pada 15-16 Februari," kata jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova di dalam sebuah sidang akhbar.

Dia turut menambah dengan berkata bahawa pertemuan itu adalah sebahagian daripada langkah yang diambil untuk mencari penyelesaian diplomasi kepada krisis di Syria.

"Perkara itu adalah sebahagian daripada usaha -usaha bersama- yang bertujuan untuk menyelesaikan krisis politik tersebut," kata Zakharova.

Pada 23-24 Januari lepas, Astana telah mengelolakan dialog Syria yang dianjurkan oleh Iran, Rusia dan Turki dengan kehadiran perwakilan daripada kerajaan Damsyik dan juga puak pemberontak.

Pada penghujung sidang tersebut, Tehran, Moscow dan Ankara bersetuju untuk mewujudkan mekanisme tiga penjuru untuk mengekalkan gencatan senjata di Syria.

/315